09.15.08

Bolehkah Saya Berbuka Puasa Jika Saya BF?

Posted in Penyusuan tagged , , at 9:46 am by zetyzin

Boleh, tetapi jika dan hanya jika anda merasakan andai anda meneruskan ibadat puasa, ianya akan menjejaskan kesihatan anak mahupun anda. Jika tidak, jika anda masih mampu bertahan, atau sekadar merasa lapar dan dahaga, maka lupakanlah niat untuk berbuka.

Dalam Islam, umat Nabi Muhammad diberi keistimewaan atau diringankan (rukhsah) dalam melakukan sesuatu ibadat. Jika berpuasa, ibu-ibu yang mengandung atau menyusukan anak dibolehkan untuk berbuka puasa jika mereka takut andai dengan berpuasa akan menjejaskan kesihatan si ibu atau si anak. Menjejaskan yang bagaimana?

Mungkin dikatakan menjejaskan kesihatan ialah, andai si ibu puasa, susunya akan berkurangan dan akan menyebabkan anaknya kelaparan dan jatuh sakit. Tetapi kini ramai ibu-ibu yang telah mengumpul stok susu beku sebelum Ramadhan. Stok-stok susu beku inilah yang boleh digunakan jika ada ‘kecemasan’ – susu merudum. Maka bagi pendapat saya, tidak ada istilah tidak cukup susu. Kecualilah memang si ibu tidak buat stok, atau tidak mempunyai stok yang cukup, atau mempunyai masalah kesihatan.

Saya sendiri, berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa ini, ada juga masa-masa dalam Ramadhan kali ini di mana saya tidak mempunyai stok susu segar yang cukup disebabkan sibuk dengan tugasan dan mesyuarat di pejabat. Jadi untuk bekalan susu anak keesokan harinya, saya terpaksa mengeluarkan stok susu beku saya di dalam freezer untuk dibekalkan kepada anak. Lagipun, itulah gunanya stok susu beku kan?

Ada pula sesetengah ibu bf yang dengan sewenang-wenangnya berbuka puasa kerana letih, lapar dan dahaga dengan menggunakan alasan bahawa mereka menyusukan anak, dan dipermudahkan untuk berbuka. Saya tidak bersetuju langsung dengan cara ini. Jika mereka letih, orang lain yang tidak menyusukan anak juga letih berpuasa. Jika mereka lapar dan dahaga, orang lain juga begitu. Andai masih mampu kenapa mesti berbuka? Hanya kerana diberikan kelonggaran oleh Allah? Janganlah diringan-ringankan suruhan Allah. Rukhsah diberi hanya kepada mereka yang tidak mampu, yang mempunyai masalah kesihatan. Rujuklah kepada doktor dulu untuk mengesahkan samada anda mampu berpuasa ataupun tidak.

Betul kata sesetengah ibu, niat memainkan peranan yang amat penting. Niat sebenarnya secara tidak langsung bertindak dari sudut psikologi. Jika dalam hati sudah tertanam niat untuk berpuasa penuh, Insyaallah tidak ada apa yang akan menjadi penghalang untuk kita berpuasa pada hari itu. Panas, letih, lapar semuanya ditolak ke tepi. Tetapi jika awal-awal lagi sudah terdetik di hati, ah aku menyusukan anak, dibolehkan untuk berbuka jika tak larat, sudah pastilah pelbagai alasan diberi dan akhirnya akan berbuka.

Bagi saya, Ramadhan kali ini memang ditunggu-tunggu. Memandangkan saya menyusukan anak secara eksklusif dan masih belum lagi didatangi haid, saya amat berharap agar puasa saya kali ini penuh, cukup sebulan. Jadi tidak perlulah saya menggantikan puasa saya nanti. Bukankah itu satu niat yang baik? Ia juga menjadi motivasi kepada saya untuk meneruskan puasa jika ada ketikanya saya berasa sangat letih.

Ada juga berpendapat untuk gantikan susuibu yang tidak cukup dengan susu formula, jadi si ibu bolehlah berpuasa. Ini juga saya tidak setuju. Banyak cara lain untuk menambahkan susuibu. Kurma, oat, sup lobak putih, air masak, dan pelbagai cara lain boleh membantu menambahkan susuibu. Atau jika masih tidak berjaya untuk menambahkan susu badan ketika berbuka atau sahur, bukankah Allah telah permudahkan kita untuk tidak berpuasa? Ha… di sinilah rukhsah atau hadiah Allah boleh kita gunakan.

Selamat berpuasa semua.

~Sekadar pendapat

Leave a Comment