September 23, 2008

Seminggu Saja Lagi

Posted in Umum at 3:26 pm by zetyzin

Pejam celik pejam celik, sudah 23 hari kita berpuasa. Bermakna hanya tinggal seminggu saja, raya bakal menjelma. Cepat betul masa berlalu kan?

Saya pula, makin jarang update entri saya di sini. Agak sibuk akhir-akhir ini. Tidak sempat surfing dan baca artikel-artikel berkaitan penyusuan dan keibubapaan.

Walaubagaimanapun, pengalaman berpuasa kali ini cukup seronok bagi saya. Pertama kali dapat menyusukan anak. Insyaallah, kali kedua dapat berpuasa penuh. Dan yang paling best, berat badan saya turun lagi! Kombinasi menyusu + puasa. Susu saya juga belum pernah merudum dengan drastik. Alhamdulillah. Malahan, susu saya makin banyak di bulan puasa ini.

Ah. Kepada semua, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf andai ada silap salah, terkasar bahasa. Semasa berhari raya nanti, jaga pemakanan anda. Jangan makan lemang banyak sangat, takut-takut efek pada bayi nanti, kembung pula perut bayi nanti.

Advertisements

September 15, 2008

Bolehkah Saya Berbuka Puasa Jika Saya BF?

Posted in Penyusuan tagged , , at 9:46 am by zetyzin

Boleh, tetapi jika dan hanya jika anda merasakan andai anda meneruskan ibadat puasa, ianya akan menjejaskan kesihatan anak mahupun anda. Jika tidak, jika anda masih mampu bertahan, atau sekadar merasa lapar dan dahaga, maka lupakanlah niat untuk berbuka.

Dalam Islam, umat Nabi Muhammad diberi keistimewaan atau diringankan (rukhsah) dalam melakukan sesuatu ibadat. Jika berpuasa, ibu-ibu yang mengandung atau menyusukan anak dibolehkan untuk berbuka puasa jika mereka takut andai dengan berpuasa akan menjejaskan kesihatan si ibu atau si anak. Menjejaskan yang bagaimana?

Mungkin dikatakan menjejaskan kesihatan ialah, andai si ibu puasa, susunya akan berkurangan dan akan menyebabkan anaknya kelaparan dan jatuh sakit. Tetapi kini ramai ibu-ibu yang telah mengumpul stok susu beku sebelum Ramadhan. Stok-stok susu beku inilah yang boleh digunakan jika ada ‘kecemasan’ – susu merudum. Maka bagi pendapat saya, tidak ada istilah tidak cukup susu. Kecualilah memang si ibu tidak buat stok, atau tidak mempunyai stok yang cukup, atau mempunyai masalah kesihatan.

Saya sendiri, berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa ini, ada juga masa-masa dalam Ramadhan kali ini di mana saya tidak mempunyai stok susu segar yang cukup disebabkan sibuk dengan tugasan dan mesyuarat di pejabat. Jadi untuk bekalan susu anak keesokan harinya, saya terpaksa mengeluarkan stok susu beku saya di dalam freezer untuk dibekalkan kepada anak. Lagipun, itulah gunanya stok susu beku kan?

Ada pula sesetengah ibu bf yang dengan sewenang-wenangnya berbuka puasa kerana letih, lapar dan dahaga dengan menggunakan alasan bahawa mereka menyusukan anak, dan dipermudahkan untuk berbuka. Saya tidak bersetuju langsung dengan cara ini. Jika mereka letih, orang lain yang tidak menyusukan anak juga letih berpuasa. Jika mereka lapar dan dahaga, orang lain juga begitu. Andai masih mampu kenapa mesti berbuka? Hanya kerana diberikan kelonggaran oleh Allah? Janganlah diringan-ringankan suruhan Allah. Rukhsah diberi hanya kepada mereka yang tidak mampu, yang mempunyai masalah kesihatan. Rujuklah kepada doktor dulu untuk mengesahkan samada anda mampu berpuasa ataupun tidak.

Betul kata sesetengah ibu, niat memainkan peranan yang amat penting. Niat sebenarnya secara tidak langsung bertindak dari sudut psikologi. Jika dalam hati sudah tertanam niat untuk berpuasa penuh, Insyaallah tidak ada apa yang akan menjadi penghalang untuk kita berpuasa pada hari itu. Panas, letih, lapar semuanya ditolak ke tepi. Tetapi jika awal-awal lagi sudah terdetik di hati, ah aku menyusukan anak, dibolehkan untuk berbuka jika tak larat, sudah pastilah pelbagai alasan diberi dan akhirnya akan berbuka.

Bagi saya, Ramadhan kali ini memang ditunggu-tunggu. Memandangkan saya menyusukan anak secara eksklusif dan masih belum lagi didatangi haid, saya amat berharap agar puasa saya kali ini penuh, cukup sebulan. Jadi tidak perlulah saya menggantikan puasa saya nanti. Bukankah itu satu niat yang baik? Ia juga menjadi motivasi kepada saya untuk meneruskan puasa jika ada ketikanya saya berasa sangat letih.

Ada juga berpendapat untuk gantikan susuibu yang tidak cukup dengan susu formula, jadi si ibu bolehlah berpuasa. Ini juga saya tidak setuju. Banyak cara lain untuk menambahkan susuibu. Kurma, oat, sup lobak putih, air masak, dan pelbagai cara lain boleh membantu menambahkan susuibu. Atau jika masih tidak berjaya untuk menambahkan susu badan ketika berbuka atau sahur, bukankah Allah telah permudahkan kita untuk tidak berpuasa? Ha… di sinilah rukhsah atau hadiah Allah boleh kita gunakan.

Selamat berpuasa semua.

~Sekadar pendapat

September 11, 2008

Merangsang Bayi

Posted in Keibubapaan tagged , at 8:48 am by zetyzin

CARA-CARA MERANGSANG BAYI

Seseorang bayi Islam yang baru dilahirkan dianggap seperti kain putih.  Perkembangan personalitinya bermula daripada peringkat itu walhal ada pakar-pakar yang berpendapat bahawa ini bermula dari peringkat janin lagi.  Bayi yang baru lahir sudah dilengkapkan dengan kesemua pancainderanya dan sudah boleh berinteraksi dengan persekitarannya serta dengan orang-orang disekelilingnya, terutama ibu dan bapanya.

Pada masa dahulu kebanyakkan orang menganggap seseorang bayi yang baru lahir itu sebagai seorang individu yang pasif dan tidak berupaya mengenali ibu bapanya, persekitarannya, atau memberi apa-apa gerak-balas kepada orang disekelilingnya.  Tetapi pada masa kini jelas kepada pakar-pakar perkembangan kanak-kanak bahawa bayi yang baru lahir sudah berupaya memberi gerak-balas kepada perhatian yang ditunjukkan oleh orang lain kepadanya.

Bayi sudah boleh mendengar, sudah boleh melihat dan sudah boleh merasai keadaan-keadaan yang selesa atau keadaan-keadaan yang tidak menyenangkan.  Bayi menangis apabila lapar, tenteram apabila disusukan.  Semakin dia besar, jelas kadangkala yang dia menangis apabila dia keseorangan dan akan tenteram semula apabila dibedung, diangkat ataupun didodoikan.

Pada masa kini ramai ibu bapa yang bertanyakan cara -cara untuk merangsangkan bayi . Sekarang sudah jelas bahawa prestasi intelek seseorang kanak -kanak itu boleh dipertingkat dengan memberi persekitaran yang penuh dengan rangsangan kepada kanak -kanak itu . Sitimulasi atau rangsangan ini perlulah dipertunjukkan kepada anak -anak dari peringkat bayi lagi .

Kalau diperhatikan kelakuan seseorang bayi dalam beberapa hari dia dilahirkan jelas ternampak bahawa dia akan berada dalam empat keadaan – tidur nyenyak , mengantuk , keadaan menangis . Didalam keadaan dia berjaga -jaga dan asyik memerhatikan kelilingnya  dan asyik memerhatikan persekitarannya itu deria -derianya akan menangkap semua stimuli di persekitarannya . Kadangkala dia akan memberi gerak-balas kepada stimuli-stimuli ini.  Umpamanya dia mungkin akan ketawa jika ibunya ketawa dihadapannya.  Dia akan memerhatikan sesuatu benda yang diimbaskan dihadapan mukanya.

Cara-cara merangsang bayi

Keadaan yang sesuai bagi merangsang bayi ialah pada masa dia celik dan sedar.  Ibu bapa perlu faham masa yang elok untuk merangsang bayi kerana jika rangsangan diteruskan tanpa mengambilkira kemampuan bayi untuk berinteraksi, ini mungkin akan membawa kesan yang negatif kepadanya.  Bila bayi asyik memerhatikan wajah ibunya, ibu itu patutlah bercakap-cakap dengannya, menyanyi mesra, menunjukkan wajah senyum gembira atau ketawa sambil menggosok-gosok atau mencium bahagian tubuh bayinya itu.  Waktu menyusu bayi boleh digunakan untuk merangsang bayi.  Perkataan-perkataan seperti ” anak mak cantik sangat, anak mak manis sangat, anak mak sayang, anak mak suka minum susu”, dan sebagainya disarankan untuk digunakan pada waktu ini.

 Ibu-ibu juga digalakkan bercakap-cakap dan bermesra dengan bayinya diwaktu dia dimandikan atau lampinnya ditukarkan.  Jarak mata bayi dengan wajah ibunya semasa menyalinkan lampin sungguh sesuai untuk berinteraksi diantara ibu dan bayi.  Sambil menyalin lampin perkataan-perkataan seperti” cantiknya kaki anak mak, wanginya badan anak mak,” dan sebagainya boleh digunakan.

 Sebelum seseorang bayi boleh menggunakan bahasa dia akan menempuh proses perkembangan yang sistematik.  Bayi yang baru lahir hanya menangis sahaja.  Kebolehan bayi untuk mengeluarkan konsonan seperti mm,mm, atau ng pada usia tiga hingga empat bulan akan terus berkembang sehingga pada usia enam bulan dia sudah boleh mengeluarkan bunyi “ma ma ma, na na na” ,seolah-olah dia hendak memanggil ibunya.  Kebanyakkan bayi sudah berupaya mengeluarkan satu perkataan yang bermakna seperti “mama”, “baba’ pada usia sepuluh bulan.  Dari bahasa yang digunakan oleh ibu kepadanya setiap hari dan pada setiap masa bayi akan dapat mempelajari dan membentuk bahasanya sendiri.  Dari itu ibu bapa perlulah faham bahawa mereka seharusnya memberi perhatian  kepada perkembangan bahasa bayi-bayi mereka dan membantunya dengan selalu bercakap-cakap dengan bayi mereka.  Bahasa sangat penting untuk seseorang manusia mempelajari keadaan disekelilingnya kerana melalui bahasa seseorang kanak-kanak kecil boleh melafazkan kehendaknya, boleh bertanya-tanya, boleh meminta-minta, dan boleh mengeluarkan pandangan-pandangannya tentang sesuatu perkara.

 Seseorang bayi yang selalu menangis tentu akan kurang berkebolehan menerima segala stimuli dari persekitarannya serta dari orang-orang disekelilingnya. Ada ibu-ibu yang mengatakan ” Biarlah budak itu menangis, lama-lama bila dia letih, dia akan diam”.  Anggapan ini adalah tidak benar dan ibu bapa dinasihatkan supaya mencuba seberapa daya untuk mententeramkan dengan mendukung dan mendodoinya atau mengenjut-enjutkannya.  Selalu didapati bahawa seseorang ibu yang sudah pandai mendapatkan perhatian bayi dan merangsang bayi akan mendapati bayinya kurang meragam .  Bayi menangis kerana inginkan sesuatu. Cubalah cari sebabnya dan pujuklah dia.

Bermain-main dengan bayi adalah sangat-sangat digalakkan. Jari-jari bayi boleh dicium atau kedua-dua tangannya ditepuk-tepukkan sambil ibu menyanyi perkataan-perkataan seperti ” tepuk-tepuk tangan”. Pendeknya, perkataan-perkataan  yang dikeluarkan oleh seseorang ibu itu seelok-eloknya mestilah ada berkaitan dengan sesuatu perbuatan yang dilakukan.

 Kesimpulan

Persekitaran seseorang bayi itu  boleh diperkayakan dengan mengadakan berbagai-bagai bunyi yang menarik seperti lagu-lagu dari peti muzik (musical box) atau dengan gambar-gambar yang berwarna-warni.

 Untuk merangsang bayi ibu digalakkan bercakap-cakap, bermain-main, menyanyi atau membaca sesuatu kepada bayi mereka kerana ini bukan sahaja akan membantu proses perkembangan bahasa bayi bahkan mungkin boleh meninggikan pretasi intelek mereka.  Sebelum kanak-kanak itu boleh menggunakan bahasa dia perlu memahami bahasa.  Dari itu ibu bapa digalakkan selalu mengeluarkan perkataan-perkataan yang sesuai pada masa dia berinteraksi dengan bayinya.  Insyaallah bila perkembangan bahasa kanak-kanak itu dapat dipercepatkan, prestasi inteleknya juga akan meningkat

Sumber dipetik di sini.

September 4, 2008

Tips Bulan Puasa Bagi Ibu BF

Posted in Penyusuan tagged , at 4:35 pm by zetyzin

Alhamdulillah sudah 4 hari kita berpuasa.

Seperti ibu-ibu menyusu badan yang lain, saya juga berasa agak gusar dan risau tentang penghasilan susu di bulan Ramadhan ini. Perkara yang paling merisaukan ialah kurangnya penghasilan susu kerana berpuasa.

Bagi saya, Alhamdulillah 4 hari pertama ini cukup memberangsangkan. Saya berjaya mengepam susu lebih dari biasa. Pernah saya pam dapat 11 oz per sesi! Saya sendiri terkejut bila melihat botol Avent 9oz saya penuh. Saya harap penghasilan susu yang banyak ini berterusan hingga bila-bila.

Apa yang saya perhatikan, saya rasalah, susu saya terhasil dengan banyak kerana:
– Saya makan kurma sebanyak 7 biji ketika berbuka dan sahur
– Saya pastikan saya minum air masak yang banyak 
– Saya tak minum kopi, teh mahupun milo
– Bulan puasa, saya lebih tenang. Ini juga turut mendorong penghasilan susu yang banyak.

Ini hanyalah pemerhatian saya. Dan sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan anda semua. Anda pula bagaimana? Apa pula tips yang boleh dikongsi bersama?

September 2, 2008

Coleslaw Rangup Berperisa Buah

Posted in Keibubapaan, Resepi tagged , at 2:03 pm by zetyzin

Tahukah anda apakah yang paling kekurangan dalam diet kita?
Jawapannya bukanlah vitamin atau mineral – tetapi serat!

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Penting untuk melegakan sembelit, serat juga dapat membantu menurunkan paras kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Ia juga dapat mengenyangkan anda pada kandungan kalori yang rendah lalu membantu mengekalkan berat badan yang sihat.

Tambahkan lebih banyak serat dengan memakan sayursayuran, buah-buahan bersama kulit, kekacang dan roti mil penuh. Perkenalkan serat secara perlahan-lahan dan galakkan anak anda minum banyak air.

Coleslaw Rangup Berperisa Buah
Hidangan Untuk 5 orang

Bahan-bahan:

A
1cawan kubis, dicincang
½ cawan kepingan nenas dalam tin, toskan
4 keping pic dalam tin, toskan dan dipotong dadu

 

B
3 sudu makan yogurt rendah lemak
2 sudu kecil madu
¼ susu kecil serbuk pala

 

C
50 gram muesli bakar
1 biji telur, direbus dan dihiris

 Arahan:
1. Campurkan A ke dalam mangkuk yang besar.
2. Campurkan B di dalam mangkuk berasingan. Kacau sehingga sebati untuk dijadikan kuah salad.
3. Tuangkan kuah salad ke atas campuran A dan kacau sehingga sebati. Hias dengan C.
4. Simpan dalam peti sejuk selama sejam dan hidang ketika sejuk.

Idea hidangan:
Hidangkan dengan roti pita mil penuh untuk meningkatkan pengambilan serat

Tenaga : 283 kcal
Protein : 4.6 gram
Lemak : 13.0 gram
Serat diet : 3.5 gram

 Dipetik dari: http://www.mypositiveparenting.org/articles/bm/v3-article6-bm.htm

Mitos mengenai Penyusuan Susu Ibu

Posted in Penyusuan tagged , at 1:53 pm by zetyzin

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

“Tidak! Penyusuan susu ibu akan menyebabkan payudara saya kendur!”

Penyusuan susu ibu tidak menyebabkan payudara menjadi kendur; ianya disebabkan oleh faktor usia dan graviti. Malah, penyusuan susu ibu membantu anda untuk kembali kepada bentuk badan asal lebih cepat dengan membakar lemak yang tersimpan semasa hamil. Ia juga mengeluarkan hormon yang membantu mengecut dan mengembalikan rahim kepada saiz yang asal.

“Tidakkah penyusuan susu ibu menyakitkan?”

Tidak. Meskipun ada sebilangan ibu yang mungkin rasa sedikit bengkak pada peringkat awal, tetapi keadaan ini tidak berlanjutan. Jika anda masih rasa sakit, ini mungkin disebabkan mulut bayi tidak menghisap puting dan areola dengan betul. Belajarlah untuk membantu bayi menyusu dengan cara yang betul.

“Penyusuan susu ibu menyusahkan!”

Penyusuan susu ibu sebenarnya memudahkan anda. Anda tidak perlu membawa peralatan, tidak perlu risau tentang bekalan susu, penyimpanan dan penyediaan susu. Tambahan pula, penyusuan susu ibu boleh dilakukan bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan ia juga tidak melibatkan sebarang kos.

“Kenapa nak bersusah payah? Tambahan pula, saya akan kembali bekerja.”

Penyusuan ibu, walaupun beberapa minggu atau bulan, akan beri manfaat kepada bayi. Mula bekerja tidak bermaksud anda perlu menghentikan penyusuan susu ibu. Penjaga bayi boleh memberi susu ibu yang sudah diperah pada siang hari dan anda boleh menyusukannya sendiri pada waktu malam.

 

Dipetik dari: http://www.mypositiveparenting.org/bm/nutrition-bm.htm#